Posts Tagged ‘setem baru’

mainpix

YASMIN menunjukkan setem warisan dunia yang dijual kepada orang ramai.

 

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan 520,000 keping koleksi setem dan 50,000 sampul surat hari pertama menampilkan tempat pelancongan bertemakan tapak warisan dunia, esok. Ketua Setem dan Filateli, Yasmin Ramli, berkata koleksi setem dan sampul surat hari pertama itu memaparkan kawasan pelancongan di Malaysia yang diwartakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), sebagai tapak warisan dunia. Katanya, tapak warisan dunia adalah suatu tapak khusus seperti hutan, gunung, tasik, gurun, tugu, bangunan, kompleks atau bandar, yang dicalonkan serta disahkan untuk memasuki senarai yang dikendalikan oleh Program Warisan Dunia antarabangsa yang ditadbir oleh Ahli Jawatankuasa Warisan Dunia Unesco.

“Malaysia berbangga mempunyai empat tapak warisan yang diisytiharkan Tapak Warisan Dunia Unesco. Prasasti Warisan Dunia mengesahkan Melaka dan Georgetown sebagai Bandar Bersejarah di Selat Melaka yang mempunyai nilai umum yang unggul dan ciri kebudayaan yang unik. “Manakala, Taman Kinabalu dan Taman Negara Mulu mendapat pengesahan untuk tapak pemuliharaan alam semula jadi yang cemerlang.

“Matlamat utama adalah untuk meningkatkan pengetahuan berhubung tapak warisan yang ada, sejajar dengan galakan pada musim pelancongan ketika ini, baik tempatan mahupun antarabangsa,” katanya pada sidang media di Pejabat Pos Besar, Kompleks Dayabumi, semalam. Katanya, koleksi setem berukuran 40mm x 30mm dijual di dalam denominasi 50 sen, sampul surat hari pertama berharga 30 sen, folder RM5.50, lembaran mini RM2 serta keluaran khas kali ini ialah poskad bersetem pada harga 80 sen yang mana mempunyai ciri keselamatan pada permukaan poskad berkenaan.

Pengumpul setem digalakkan mendaftar sebagai ahli Soda (Standing Order Deposit Account) untuk mendapatkan setem dan produk filateli yang dikeluarkan Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari keluaran. Pelanggan juga dapat dapat menikmati kemudahan online menerusi Philately Online di http://www.posonline.-com.my untuk membuka akaun Soda atau orang ramai juga boleh berkunjung di pejabat-pejabat pos terdekat atau Bahagian Setem dan Filateli di Tingkat 1, Bangunan Pejabat Pos Besar, Kompleks Dayabumi atau hubungi talian 03-22741122,” katanya.

tradwed1

Oleh NURHAFIZA MARZUKIE pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Mac – Pos Malaysia Berhad (PMB) akan mengeluarkan setem khas dan sampul surat hari pertama bertemakan pakaian tradisional pengantin pada Isnin ini. Ketua Setem PMB, Yasmin Ramli berkata, koleksi setem pakaian tradisional tersebut menampilkan lima busana pengantin mengikut kaum di Malaysia.

tradwedfdc

”Setem pakaian pengantin masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Ulu dan Bajau itu dijual pada harga 50 sen manakala sampul surat dijual dengan harga 30 sen. ”Koleksi ini memberi peluang kepada orang ramai mengamati kecantikan dan kehalusan seni pakaian tradisional pengantin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Selain setem, beliau memberitahu, terdapat dua lagi produk keluaran PMB iaitu fail dan buku setem masing-masing berharga RM5.50 dan RM3. ‘

‘Setem, sampul surat dan buku setem boleh didapati di pejabat-pejabat pos seluruh negara manakala fail pula boleh diperolehi di pejabat pos terpilih sahaja,” katanya. Jelasnya, sejumlah 881,000 produk berkenaan akan dikeluarkan pada Isnin ini. ”Sebanyak 800,000 setem, 50,000 sampul, 30,000 buku setem dan 1,000 fail akan dikeluarkan.

”Ini kerana sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutama pengumpul setem untuk memiliki setiap produk keluaran Pos Malaysia yang unik dan pelbagai mengikut tema,” katanya.

lat

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mensasarkan jualan lebih satu juta keping koleksi setem khas bernilai RM940,000 yang memaparkan lakaran kartun tokoh kartunis tersohor negara ini, Datuk Mohamed Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat yang dikeluarkan sempena Minggu Setem yang berlangsung semalam hingga 7 Disember ini.

Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata pihaknya yakin mampu mencapai sasaran itu berdasarkan kekuatan pada nama Datuk Lat yang sememangnya sudah sinonim dalam dunia kartun Tanah Air dengan jutaan peminat pelbagai golongan usia serta kaum.

Katanya, selain setem khas itu, orang ramai berpeluang mengumpul pelbagai produk lain yang turut memaparkan lukisan Lat, antaranya sampul surat hari pertama, buku setem kecil dan lembaran miniatur berwarna perak yang pertama kali dikeluarkan.

“Karakter kartun seperti dapat dilihat dalam karya ‘Kampung Boy’, ‘Town Boy’ dan Mat Som sememangnya sinonim dengan masyarakat negara tidak kira umur mahupun keturunan dan menjadi ikon dunia kartun.

“Pos Malaysia berbesar hati dengan peluang untuk menampilkan paparan kartun Datuk Lat pada setem dan pelbagai produk filateli kami.

“Kami percaya keluaran istimewa ini bakal menjadi koleksi berharga kepada bukan saja pengumpul setem atau peminat setia Lat, malah penduduk Malaysia amnya. Produk filateli dengan tema Kartun Malaysia, menampilkan reka bentuk hasil ilham Datuk Lat sendiri,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Minggu Setem 2008 di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar, Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Lat sendiri.

Mengulas lanjut, Aseh berkata, Minggu Setem ialah acara tahunan yang dianjurkan pihaknya untuk mempromosikan tabiat mengumpul setem selain mengeratkan hubungan sesama peminat setem seluruh pelusuk Tanah Air.

“Menariknya, Pos Malaysia menawarkan setem istimewa yang menampilkan tujuh watak kartun karya Lat yang paling terkenal dengan setiap satunya dikeluarkan secara eksklusif pada hari berbeza sepanjang Minggu Setem tahun ini berlangsung dan cuma boleh didapati di Berjaya Times Square saja.

“Orang ramai yang berkunjung ke tapak pameran berpeluang menikmati promosi istimewa SetemKu iaitu setem yang mengabadikan sendiri gambar pelanggan di mana pengunjung boleh membeli setem ini pada harga RM19 untuk 20 keping setem 30 sen dan RM28 (20 keping setem 50 sen),” katanya.

Maklumat lanjut, layari laman web http://www.pos.com.my atau kunjungi pejabat pos berhampiran.